Nuffnang

Kisah terkini Wansteddy's

Thursday, May 17, 2012

Memori rumah arwah nenek

Semalam, lepas tunaikan isyak, aku duduk menghadap tingkap luar bilik. Sebelah rumah ni ada tanah lapang, berpaya sikit. Kalau hari hujan, rasa nyaman sangat. Tapi semalam tak hujan. Angin pun tidaklah kuat sangat. Hanya sepoi-sepoi bahasa angin malam yang menyegarkan wajah. 

Tiba-tiba tercium bau yang dah lama tak dihidu tapi sangat dekat dengan hati. Bau bilik rumah arwah nenek. Walaupun hanya seimbas lalu tapi kesannya terus menyelongkar memori-memori lama. Rumah arwah nenek sekarang dah berpindah di belakang rumah pakcik. Aku kurang memori tentang rumah tu sebab memang jarang masuk ke sana. Selalunya bila singgah ke rumah acik, nenek dah duduk kat depan ruang tamu. Maka tidaklah aku beria nak jengah rumah nenek pula. Memori kanak-kanak ke alam remaja lebih kuat pada rumah lama nenek. Rumah separa kayu dan buluh yang didirikan oleh arwah atuk. Atuk Nawi banyak berjasa kat kampung. Beliaulah orang pertama yang menubuhkan rumah kat kampung tu. Tapak surau masih kukuh dari pertengahan tahun 1955 hingga sekarang. Gong ukiran kayu yang dihasilkan oleh arwah atuk untuk membuat seruan azan masih elok digunakan.

Berbalik pada bau rumah arwah nenek tadi. Aku bagai terhidu bau bedak sejuk yang nenek buat. Pernah aku bantu nenek titik-titikkan atas dulang anyam buluh yang nenek buat sendiri. Bau hapak atap rumbia bagaikan aromaterapi semulajadi. Bunyi katak sahut menyahut kala lepas hujan di paya depan rumah. Tangga kayu yang tinggi dengan papan nipis. Yang dalam imaginasi kanak-kanakku, bila-bila masa saja pijak boleh patah dua. Setiap kali menapak, rasa seriau naik dari hujung kaki ke hujung kepala! Dinding buluh yang bila bangkit tidur waktu pagi, boleh lihat cahaya-cahaya matahari tembus masuk ke dalam rumah. Aku suka bermain cahaya tu dengan mengecil besarkan mata. Seolah-olah cahaya tu bersinar-sinar bak bintang. 

Memori yang sangat-sangat aku rindukan. Sejujurnya waktu kecil dulu, zaman kanak-kanak aku tidaklah seindah mana. Aku selalu berdoa agar lekas besar, jadi orang senang. Dah lemas hidup dalam keadaan kanak-kanak yang serba membosankan. Tapi kini, perasaan yang berbeza pula yang aku rasai. Aku rasa macam nak kembali ke rumah lama nenek yang kini dah tersergam dengan rumah acik. Aku jadi rindu nak melangkah masuk rumah nenek dari muka pintu hingga ke bilik mak di tingkat atas. Terasa ingin panjat katil nenek yang sedia goyang tapi berukir antik tu. Terasa nak jengah kolah besar lama yang kadang-kadang secara curi-curi jadi kolam mandi para sepupu nakal ini. Kaki rasa nak memijak beranda buluh yang selalu goyang di sebelah bilik nenek.

Beberapa kali jugalah aku alami situasi macam ni. Sedang ketawa atau bercakap atau duduk-duduk saja, tiba-tiba teringat kat arwah nenek. Seolah-olah dia ada dekat dengan aku. Imbasan kenangan dan bau ni bagaikan sentuhan halus nenek yang selalu memegang bahu aku bila berjumpa. Sewenang-wenangnya air mata bergenang....

Wan Fatimah Wan Ngah... al fatihah buatmu. Semoga rohmu tenang di alam sana, semoga dirimu diletakkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin...

3 comments:

Nad @ MamaZakwanNayli said...

isk, isk, isk...
tetibe bergenang airmata
rindu kat arwah opah jugak..!! :(

Wan_hazel said...

amin kak.. semoga awrwah nenek ditempatkan dikalangan org yg beriman..

kalau dah dewasa sbgini mesti nak jadi budak budak balik..tp masa tu berputar terlalu laju.. yang tggal hanya kenangan//sebak baca entri akak kali nie..

tabah kan hati kak..Wan dari jauh nie hanya dapat ukir kata2 yang entah samada boleh ke tak tenangkan perasaan akak..

kekadang kenangan tu begitu kejam dan bisa buatkan kita mensngis.. tapi itulah hakikat peneman dikala merindu..

BABY(MAMA AMANA&ARIEF) said...

ila tak rapat dgn nenek tapi akak & adik ila rapatla