Nuffnang

Followers

Wednesday, January 1, 2014

Hilangnya Harta Yang Tiada Golok Gantinya

Gambar kenangan pada 20 september 2013. Ketika ini abah sedang berdoa di kuburan nenek, emak abah di Kawasan Perkuburan Islam Kampung Kerunai, Gerik Perak. Sempat abah berikan amanat, agar jasadnya disemadikan bersebelahan dengan kubur ibunya. Sayu dan penuh hiba mengenangkan setiap kenangan bersama abah. Dialah harta kami yang tiada gantinya. Terasa separuh nyawaku hilang. ..

DIA beri kesenangan, DIA juga bisa menarik kembali kegembiraan. Ini yang aku peringatkan diri berkali-kali. Sementelah berita kegembiraan diselangi berita paling sedih dalam hidup ini dalam bulan yang sama. Pemergian abah tiada penggantinya. Rasa kehilangan ini hanya kami yang mengalami yang lebih mengerti. 

Pemergian abah tidak dijangka. Dalam usianya 63 tahun abah pergi menghadap Ilahi. Sebelum pergi menunaikan haji, sempat abah katakan kepada kami " Nabi Muhammad saw wafat pada usianya 63 tahun, tahun ini abah berusia 63 tahun, mungkin sudah sampai masanya abah kembali kepadaNYA. Jika dapat, abah nak bersemadi di tanah suci Mekah..." Kenyataan abah tu, kami anggap gurauan hendak bermanja dengan anak-anak saja. Aba sentiasa nampak sihat dan kuat bekerja. Aktif dalam pelbagai aktiviti di kampung. Manalah kami sangka, tak sampai sebulan di Mekah, abah diserang sakit Kanser paru-paru tahap 4. 

Bermacam dugaan nak menempatkan abah di hospital di Malaysia. Bila kukenang-kenang lebih bagus petugas di Hospital Madinah yang menjaga jemaah haji berbanding hospital Malaysia yang hanya tahu memberi tarikh appointment tapi tak membenarkan pesakit berjumpa doktor pakar. Semua ni akibat cuai. Jika abah dirawat lebih cepat, rasanya mungkin keadaan kini masih berbeza. Apa pun, kami perlu redha. Inilah ketentuan dari Allah. DIA dah tetapkan takdir hambaNYA. Kini hanya doa dan zikir dapat kami hadiahkan dan sumbangkan buat abah.... 

Kami bersyukur, dalam menderita sakit, abah masih diberi kesempatan menunaikan haji penuh bersama mak. Di sana mereka berdua, menjalani ibadat haji bersama. Itulah hadiah yang Allah berikan kepada abah...

Kesempatan ini kami sekeluarga ingin menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada sanak saudara, rakan taulan serta kenalan yang sudi menitipkan ucapan takziah, sudi melawat arwah semasa masih ada hayatnya di Hospital Navi, Lumut Perak sehingga 27 Disember lalu. Terima kasih kerana sudi menjengah arwah abah buat kali terakhir di Masjid Kerunai, Gerik Perak. Dan berterima kasih pada semua yang sudi melawat dan memberi kata perangsang pada emak. Kami hargainya. Tak dapat datang, telifon dan bertanya khabar sudah memadai. Tanda kasih tanda ingatan ini, sangatlah kami hargai, sepenuh hati.

Titipan ucapan "Selamat Hari Lahir Efa" sempena hari lahirku yang ke-31 pada 19 Disember 2013. 2.53 petang yang lalu, terlalu bermakna buatku. Dalam keadaan sangat lemah, abah gigih menitipkan ucapan itu buat anaknya. 

Buat abah, Haji Wan Zahari Bin Wan Nik. Rasa belum cukup puas bermanja dengan abah. Belum cukup besar bakti si anak ini sempat dicurahkan buat abah. Maafkan segala salah dan silap Epa sepanjang hayat ini. Epa doakan abah ditempatkan bersama-sama orang yang soleh, orang beriman... Dan semoga Allah Swt mencucuri rahmat ke atas roh abah, amin....

3 comments:

AyuArjuna BiGoshh said...

:( takziah wan....

al-fatihah...

yantz-yeem said...

Terkejut aku baca entry ko kali ni...dah lama kot x bkk blog n updet blog huhuhuhu...
wan takziah..aku baru tahu harini ( jumaat ) abah ko dah pergi menghadap Illahi...sgt2 terkejut...Takziah & al fatihah....semoga rohnya dicucuri rahmat hendaknya..semoga ko tabah menhadapi saat2 pemergiannya...Insyaallah dia pergi di saat dia dah pun menunaikan haji...syukur Nikmat Allah...

dan aku nak ucap tahniah di sebalik kedukaan ada khabar kegembiraan dan kejayaan...aku tumpang gembira...

CaDLyNN said...

takziah wan..

alfatihah buat arwah