Nuffnang

Followers

Wednesday, November 7, 2012

Kala hujan daku terkenang memori kanak-kanakku...

Musim-musim hujan ni apa yang buat korang terkenangkan? Kalau aku, tentunya momen manis zaman kanak-kanak di kampung. Kalau sedang berada pada saat itu tentunya aku yang masih belum matang fikiran kala itu, tak rasa apa-apa. Tapi bila kian berusia, kenangan yang rapuh di ingatan yang kita tak terfikir pun menarik untuk diingat-ingat waktu kecil dulu, tiba-tiba terimbas di kepala. Bahkan seakan boleh terbau-bau dan terasa-rasa remang udara serta pencahayaannya. Seolah-olah kita kembali ke saat itu. Tak perlu mesin masa. Cukup sekadar memandang di kejauhan, memecahkan tembok batu memisahkan duniawi. Mengenang nun kenangan yang lama kelam...

Masih teringat saat duduk di beranda rumah arwah nenek. Rumah yang terbina hasil titik peluh arwah atuk Nawi yang tak pernah aku kenali, kerana meninggal dunia saat aku masih bayi. Dan usaha arwah nenek kesayanganku Wan Fatimah yang cengil tapi penyayang... Waktu tu, rumah masih berpapan dan beranyam buluh. Atap rumbia yang menyerlahkan aroma bau hujan. Anjung tinggi. Tangga yang jarang-jarang yang bisa menambat rasa gayat untuk turun dan naik sesuka hati. Aku selalu rasa kaki mudah terjerlus jatuh ke bawah siap dengan efek waktu yang terdetik perlahan, seakan slow motion. Bila terhentak badan ke bawah, sakitnya bukan kepalang. Dan itu hanyalah bayangan setiap kali mahu naik dan turun menggunakan tangga tinggi itu. Imaginasi seorang budak.

Kala hujan, bila di kampung adalah saat yang membosankan. Aku tak boleh merayap mengukur tanah dengan sepupuku, Ija. Sibuk mencari bahan-bahan keperluan masakan untuk main pondok-pondok. Kutip serpihan pinggan mangkuk yang jadi sisa buangan. Dijadikan alat mainan. Kalau ada cerek karat, senduk dan sudu buruk sekalipun, semuanya dikutip dan disusun tertib seakan-akan di dapur rumah. Indahnya 'rumah' ciptaan kami. Biarpun hanya berlapik tikar mengkuang lusuh milih nenek yang jadi bekas mengalas kekabu untuk dibuat bantalnya. Biarpun hanya beratapkan langit membiru. Biarpun hanya berlangsirkan daun-daun lalang dan berdindingkan batang pokok besar.

Bila hujan selalunya tiada aktiviti yang menarik dapat dilakukan. Sekadar duduk berpeleseran di balik dinding. Termenung, melukis, menulis, dan selebihnya berangan. Kalau rasa bosan, permainan lama seperti batu seremban dan sep sep jadi hiburan. Tak dapat bermain congkak seperti lazimnya kerana congkak kami letaknya di tanah bawah rumah nenek. Untung kalau tidak becak, bolehlah bermain lagi. Tapi jika air kian naik membanjiri kawasan rumah, habis punah congkak pasir kami. Kena tunggu tanah kering semula. Kutip buah-buah getah baru kerana yang lamanya hanyut dek air. Kala itu rasa geli pada cacing, lumpur, tanah langsung tiada. Pedulilah  itu semua. Yang penting jiwa mentah ini mesti bergembira!

Bila tetamu datang kami kena jadi tertib. Tak boleh menyampuk, tak boleh berlarian. Tak boleh berbuat bising. Sekian banyak peraturan yang seboleh-bolehnya memaksa kami duduk nun jauh dari tetamu. Labuhkan kaki di ambang pintu. Beranda buluh jadi singgahan. 

Walaupun nenek larang kami mengganggu tetamu, dihidangkannya juga secawan kopi atau teh o  dengan biskut kering buat cucu-cucunya. Cukup sekadar kudapan ringkas, buatkan kami cukup terharu dan rasa disayangi. Sifat prihatin nenek yang disanjungi. Kala ini nikmat suasana hujan cukup indah. Dengan bunyi katak sahut sahutan bernada pelbagai intonasi. Dengan hembusan angin semarak membawa haruman kampung yang lembab dan menenangkan fikiran. Cuaca sejuk terasa nikmat dengan secawan teh panas. Jika terlalu panas, kami tuang di dalam piring. Tiup berulang kali dan cuba menghirupnya seperlahan mungkin. Bimbang lecur bibir. Bimbang air tumpah.

Ah, indahnya kenangan tatkala hujan. Bagaimana pula kenangan kalian? Tentunya ada momen terindah yang boleh menambat kenangan mengamit senyuman :)

4 comments:

gostansikit said...

listening to the magical rain beating down on top of an icy cold mattress as it beat down on the tin roof of my grandparents home, eating biskut kering Marie ( very the best), kutip rain water with my bare hands but the katak scared me the most !

Wansteddy Tales said...

Betul tu LinLin, kadang2 rasa nak kembali ke saat tu. Menikmati sepuas-puasnya momen besh tu walaupun hanya ditemani biskut kering. Bila hujan, apa saja hidangan rasa sedap. Sebab perut automatik boleh jadi lapar! hhahaha...

CaDLyNN said...

bile ujan..teringat dulu kecik2 suke mandi ujan luar umah..siap bawak sabun..kikiki..sungguhla tak dengar kate :p

Wansteddy Tales said...

CaDLyNN ~ yeah... benda yg soheh dibuat sampai telinga kena piat! hahaha besh la kenang2 semula ^^