Tak sempat nak proses banyak gambar dalam simpanan peribadi. Kalau ada terselit gambar arwah abah. Lagilah rasa tak sanggup nak tatap lama-lama. Serta merta rasa sebak mengasak dada. Air mata bergenang tiba-tiba. Belum mampu menerima sepenuhnya pemergian abah. Terasa abah masih hidup dan jalani kehidupan sehariannya di kampung.
Ini gambar kenangan selepas upacara akad nikah adik bongsu tahun lepas. Masa ni kami ambil peluang bergambar seisi keluarga dengan pengantin lelaki. Sementelah keluarga perempuan sudah berangkat terlebih dahulu pulang ke rumah untuk persiapan jamuan makan. Waktu nak bergambar, aku minta mak dan abah bergambar berdua. Mak dan abah seperti biasanya hanya suka tegak berdiri dan senyum menghadap kamera. Aku minta abah peluk mak sikit, spontan abah mengusik mak macam ni. Habis terburai ketawa di perkarangan masjid. Rasa meriah dah bahagia sangat waktu tu. Terharu melihatkan kemesraan mak dan abah. Penyatuan keluarga di hari baik, hari pernikahan adik.
Dan kini, bila tatap gambar ni. Hanya kesyahduan dan kerinduan saja beraja di hati. Rindu nak lihat gelak ketawa abah dengan mak. Rindu nak peluk abah, cium pipi dan tangan abah. Kalaulah sebuah karangan boleh menterjemahkan isi hati. Rasanya 1 blog pun tak dapat mencukupkan ruang. Hanya DIA yang Maha Mengetahui.
Setiap hari, sewaktu ingin ke pejabat, kala kaki menjejak keluar dari rumah. Menghadap cahaya matahari terbit, daku titipkan al-Fatihah buat abah. Sudah jadi kebiasaan begitu. Entah kenapa. Mungkin dek kerana memori di kampung. Kala pagi, di rumah mak. Aku selalu nampak kelibat abah balik dari sungai atau balik dari Pekan Gerik waktu yang sama. Walaupun tak bersuara, hanya ralit dengan kerja-kerjanya. Tapi aku sangat pasti, abah gembira nampak anak-anak di rumahnya. Sekurang-kurangnya memori itulah yang mendekatkan doaku pada waktu yang sama buat abah. Atau setidaknya bila terkenang dan rindu sangat pada abah. Waktu tu cepat-cepat aku mengangkat tangan, titipkan doa dan al fatihah buat abah. Sekurang-kurangnya itu sahajalah hadiah yang dapat seorang anak berikan untuk abah.
Semoga roh ayahanda Haji Wan Zahari dicucuri rahmat, dan sentiasa dibawah lindungan Allah... Amin...
3 comments:
Al Fatihah. .
al fatihah ...
Alfatihah
Post a Comment