Malam tadi Damia asyik buat perangai. Merengek dan mengantuk. Periksa dahi dan belakang leher... demam panas rupanya. Dengan batuk masih tak habis-habis. Kesian anak mummy... Tak pastilah kenapa tiba-tiba demam. Walhal masa hantar ke taska pagi semalam. Okey-okey saja.
Pagi tadi demamnya belum surut. Aku fikir antara nak ke tempat kerja atau ambil cuti kecemasan saja. Sayang cuti tahunan juga sebenarnya. Sudahnya putuskan ke tempat kerja juga. Tapi masuk tengahari tadi, dapat panggilan dari pengurus taska Damia. Katanya... kalau boleh dia nak jaga Damia sampai akhir bulan tiga ni saja. Sebab?
Kata Hajah, ada parent yang komplen pasal eczema Damia. Geli agaknya tengok kulit Damia tak seindah kulit anak dia. Pastu boleh lak bagi reason, sebab Damia, anak dia pun naik alergik! Sudah.... Aku tak pastilah parent yang mana. Setakat aku hantar Damia ke taska, memang aku tak pernah berhenti lama nak bersembang dengan parent anak-anak di taska tu. Setakat yang aku tahu, sorang je nama kawan Damia. Itu pun sebab Damia selalu sebut-sebut "Kiki". Budak lelaki. Selebihnya aku tak tahu apa pun pasal anak-anak di taska Damia.
Sedih? Tentulah sedih... Aku bukan setakat sedih bila ada parent menuduh Damia punca anaknya alergik. Tapi sedih dengan pemikiran yang cetek demikian. Aku kira, kalau takde pengetahuan berkenaan eczema, bertanyalah dulu. Kalau segan nak tanya, koman-koman selidik dan cari info dulu dalam internet, kalau malas nak ke library pun.
Adakah penyakit eczema berjangkit? Adakah eczema ni merebak melaui sentuhan? sisa kulit segala? Tidak sama sekali! Banyak sangat mitos berkenaan eczema. Ibu bapa lebih cenderung nak percayakan faktor mitos daripada berusaha nak cari bahan fahamkan berkenaan penyakit ini... Dan masih ramai percaya... eczema boleh dijangkiti! Itulah mitos yang paling salah untuk pengetahuan korang.
Maaf cakap. Ketika Damia dirawat di hospital dulu pun, aku tengok juga sikap segelintir doktor yang penggeli. Nak sentuh Damia pun main hujung-hujung jari saja. Lepas tu cepat-cepat basuh tangan dengan sterilaizer. Takut sangat berjangkit! Padahal awak tu sah-sahlah kena prihatin pasal penyakit ni kan. Kecualilah doktor di bahagian sakit kulit. Sebab mereka sedia maklum berkenaan dermatologi ni. Tapi tak semualah. Ada juga doktor bukan Derma pun yang bersikap prihatin, sentuh dan Damia pun dengan lemah lembut. Merawat kanak-kanak ni kena ceria. Sebab kanak-kanak lebih sensitif berbanding orang dewasa. Maka persekitaran tempat rawatan haruslah dalam mode ceria, agar dapat naikkan semanagat mereka.
Banyak sangat mitos berkaitan eczema. Antaranya ramai yang percaya:
1) Eczema berjangkit melalui sentuhan
Fakta ini salah. Eczema adalah penyakit genetik. Ia tak seperti kurap, yang boleh tersebar melalui sentuhan dan pakaian.
2) Pesakit eczema tak boleh dimandikan
Fakta ini salah. Pesakit eczema haruslah diberikan keutamaan bab kebersihan. Mandi salah satu terapi yang penting. Selain menyejukkan badan, ia juga elakkan dari sebaran bakteria. Kalau lap-lap saja tak cukup. Sebab tak semua bahagian badan dibersihkan sekali.
3) Hanya kanak-kanak hidapi eczema:
Fakta ini salah. Jika anda diturunkan dari waris yang ada penyakit eczema. Maka anda secara genetiknya boleh menghidapnya. Tak kira pada usia yang mana. Ada yang hidap seawal usia 1 hari dilahirkan. Ada yang ketika berusia 20 tahun barulah menghidap eczema. Semuanya bergantung pada pencetus dan paras antibodi dalam badan anda.
4) Pakaian pesakit eczema tidak boleh dicuci dengan sabun
Fakta ini pun salah. Boleh saja gunakan bahan cucian, asalkan ia tidak terlalu kuat dengan bahan kimia.
Dan pelbagai lagi andaian berkenaan eczema. Ada masa aku akan buat entry berkaitan eczema. Sepanjang kajian dan pemahaman aku. Sepanjang merawat anak sendiri, pengalaman sendiri dan maklumat lanjut dari pakar Dermatology dan pembacaan di semua sumber sama ada media cetak atau elektronik.
Pada parent yang menuduh Damia punca anaknya alergik. Aku tak tahulah nak cakap macam mana. Aku harap Hajah dapat beri aku ruang nak hubungi parent tersebut. Terangkan hal sebenar. Senang sangat dia nak singkirkan Damia dari taska. Tak fikir ke masalah kitorang nanti? Nak cari taska dalam tempoh berapa minggu ni ingat macam kacang ke? Suatu hari kalau Allah nak uji dia dengan penyakit eczema, masa tu barulah dia faham perasaan aku agaknya. Sesungguhnya menjaga pesakit eczema ni banyak dugaannya. Kita dihantui emosional yang pebagai. Kita dihimpit rasa malu, penat, kecewa dan pelbagai lagi. Namun kalau kita redha dengan masalah ini. Insya'allah semua perkara itu bukan apa-apa. Penyakit itu datangnya dari Allah... pada dia kita mohon agar dihindar dari penyakit berbahaya yang memudaratkan.
Pada Hajah, usah berdolak dalih dengan pelbagai alasan. Aku tak faham satu perkara. Tiap kali kami hantar dan ambil Damia di taska, tak dengar pun keluhan dari staff taska. Semua kata "Ok ok saja" "Takde masalah" dan lain-lain perkataan yang tidak mengusarkan hati. Kenapa baru hari ini dia sampaikan ada staff merungut susah nak jaga Damia?
Hari-hari setiap pagi sebelum ke tempat kerja, aku masakkan makan tengahari untuk Damia. Kalau tidak sup, masak lemak. Sebab Damia suka makan berkuah. Sebab pihak taska tak berani ambil risiko masakkan untuk Damia. Bimbang makanan itu jadi alahan kat Damia. Kendian kami akan tapau sarapan pagi untuk Damia. Pada aku soal makanan takde masalah dah.
Apa lagi yang susah? Sebelum kerja, kami mandikan Damia. Bimbang Damia terlalu sejuk dimandikan dengan pili terus di taska. Walaupun semua itu ambil masa kami bersiap dan kadang kala kami lambat masuk kerja. Tapi demi meringankan beban staf taska, kami uruskan juga. Semuanya pengorbanan kami untuk Damia. Sambil nak memudahkan pihak taska. Setakat yang aku tengok. Setiap kali kami mandikan Damia, hanya dua lampin diganti. Bermakna tukar tengahari dan petang dibawa mandi. Kalau aku sediakan 4 pasang baju. Hanya sepasang digunakan. Sehari sekali je staf mandikan Damia. Apa lagi yang susah?
Soal bayaran pun kami tak pernah lewat. Setiap kali OT bayar penuh juga. Kalau nak merungut kami lambat ambil Damia. Ramai lagi anak-anak yang lebih lewat diambil dari Damia.
Tah la... Aku cuma rasa. Dorang takde punca nak singkirkan Damia, sengaja rekacipta punca. Aku sedang serba salah juga ni. Kalau terus letak, bimbang dorang jaga sambil lewa. Bimbang Damia diabaikan. Tapi kalau nak cari pengasuh lain, memang banyak urusannya. Mungkin lepas ni kami akan berhubung dengan Hajah. Bincang 4 mata. Setakat bincang dalam telifon tak jelas. Masalah pun tak selesai.
Aku percaya, apa pun jenis penyakit ada penawarnya. Segala kejadian ada hikmahnya. Iya, aku sedang bersedih dan kecewa. Tapi aku tak nak hidup dengan gelumang rasa sesal ini. Segala masalah tentu ada penyelesaiannya.
Tiada Allah membebankan hambanya melainkan ia mampu menanggungnya. Wallahualam...